Showing posts with label ABAH. Show all posts
Showing posts with label ABAH. Show all posts

Saturday, September 4, 2010

Kisah Aku dan 31 0gos..~

Rabu , 31 Ogos 1988 , 8.00 am ::

Aku terjaga dari lena yang panjang. Nafas tersekat. Batuk. Udara , mana kamu..? Tangan aku menggapai rewang. Aku tendang perut mama. Maaf ma . Saya tak sengaja sakitkan mama.

Aku dengar suara abah yang gelabah. Maklumlah. Aku anak sulong mereka. Abah terus bawak mama pergi Hospital Besar Ipoh. Sampai sana , doktor masukkan mama di Labour Room. Doktor ukur pintu rahim mama. Kata doktor lambat lagi. Aku belum sedia untuk ke bumi.

Aku membentak geram. Doktor tersalah perkiraan. Aku sudah sangat sedia melihat dunia. Aku tak mampu tunggu untuk menyedut Oksigen. Aku tidak sabar merasa udara membelai kulit.  Ruang rahim mama seolah-olah menekan setiap rusuk tulang kecil aku. Ruang ini seperti sempit untuk aku terus diam di situ. Tolonglah . Aku perlu bebas .

 ........................................................

3.30 pm ::

Aku tak mampu untuk menunggu lagi. Dada aku makin sempit dari minit ke minit. Aku tendang perut mama. Aku buka mata. Gelap. Aku lihat sekeliling. Ah , di situ ada cahaya. Mungkin itu dunia.  Aku gerakkan badan ke sana. Aku bukakan dengan kepala. Aku nampak ramai orang yang menyambut kedatangan aku. Siapa mereka..? Argh, aku sudah tidak punya banyak waktu untuk berfikir. Apa yang aku mahu , aku perlu keluar dari sini.

Aku ditarik lembut oleh mereka yang sedang menunggu kedatangan aku tadi. Ah , baru aku tau. Inilah Uncle Doktor. Di situ ada Auntie Nurse. Sejurus aku keluar , Uncle Doktor potong tali uriku. Selamat tinggal kakak. Terima kasih kerana sudi temankan saya selama 9 bulan 10 hari. Saya sangat sayangkan kamu..

Aku bertukar tangan. Kali ini aku dipangku seorang wanita yang pucat wajahnya. Aku buka mata. Aku tatap wajahnya. Cantik. Dia tersenyum . Dan segera aku tahu , inilah mama. Mama yang hanya aku dengar suaranya dulu. Mama merenungku. Mencium di segenap wajah aku. Aku dengar mama bisikkan sesuatu di telinga aku.

"Selamat datang puteriku. Terima kasih kerana memberi gelaran baru untukku. Kini aku menjadi seorang ibu keranamu. Aku kini lengkap sebagai seorang wanita. Terima kasih Allah kerana Kau menghadirkan puteri kecil ini dalam hidup ku.."

Aku dibawa pergi oleh Auntie Nurse. Selepas aku dimandikan , aku dibawa ke suatu tempat. Oh , itu mama. Dan ada seorang lelaki di sebelah mama. Aku bertukar tangan. Kali ini bukan mama yang memangkuku , tetapi lelaki itu. Aku tenung wajahnya. Kemudian aku di iqamahkan. Ah , suara itu . Aku kenal suaranya. Inilah suara yang sering dodoikan aku dengan alunan selawat dan zikir munajat setiap malam waktu dulu. Lelaki ini Abah , lelaki pertama dalam hidupku.

Abah merenung aku sambil tersenyum . Seperti mama , abah turut bisikkan sesutu ke telinga ku..

"Kamu puteri kecil ku yang cantik . Aku namakan kamu Nur Syarliza yang bermaksud Cahaya Kegemilangan. Semoga hidupmu segemilang namamu. Aku doakan kamu supaya kamu menjadi seorang hamba yang patuh pada Pencipta mu , seorang puteri yang taat pada orang tua kamu , isteri solehah kepada suami kamu dan ibu yang mithali untuk anak-anak mu. Terima kasih kerana Allah menjadikan kamu sebahagian dari hidupku.. "

............................................................

Selasa , 31 Ogos 2010 , 3.30 pm ::

Aku masih diberi kesempatan untuk terus hidup di bumi Allah ini. Di usia 22 tahun , terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan untuk aku. Walaupun selalu aku mengeluh , aku cepat kembali pada fitrah Qada' dan Qadar Nya. Ampun ALLAH . Aku ini hanya hamba yang maha lemah yang sering khilaf dalam percaturan duniawi Mu.

 Aku mempunyai keluarga yang masih teguh bersatu. Walau kadang-kadang rapuh , sentiasa ada di antara kami yang berdiri tabah memangku teguh rentak keluarga kami. Terima kasih Allah kerana mentakdirkan aku lahir dalam keluarga ini. Fitrah manusia sering ternampak hijab yang lemah tapi aku percaya setiap berlaku telah Kau tuliskan hikmah disebaliknya.

Kau berikan aku ramai teman yang sentiasa ada untuk aku susah dan senang. Selama 22 tahun usia hayatku , Kau tidak pernah menemukan aku dengan teman yang salah . Aku tidak pernah mempunyai sahabat yang menikam aku dari belakang. Terima Kasih Allah kerana menemukan aku dengan sahabat yang baik. Moga Kau berkati dan mencintai mereka..

Apa mungkin aku diberi kesempatan untuk hidup setahun lagi..?

Thursday, May 27, 2010

Abah..~

Abah..
Rasanya sudah lama aku tidak memanggil nama itu.. Mungkin berbulan malahan mungkin bertahun. Kita dekat tapi jauh. Langkah abah yang laju jauh meninggalkan aku, sehingga aku penat mengejar dan lelah mencari.. Dingin abah melebihi salji menyukarkan aku menyelami hatinya.. Apa sebenarnya yang abah fikirkan? Apa mahu abah? Sedalam mana kasih abah?..

Abah..
Sedari kecil sememangnya aku rapat dengan abah.. Aku anak abah kata mama.. Aku PA abah kata opah.. Aku anak kesayangan kata tok wan.. Tapi abah, semakin aku dewasa, semakin aku kurang menikmati kasih abah.. Mana abah yang penyayang itu? Mana abah yang selalu ada untuk aku? Mana abah yang ketawa mengejek melihat aku termengah mengejar lariannya dulu? Mana abah yang mengajar aku bahawa hidup ini bukanlah seindah yang disangkakan? Mana.....?

Abah..
Aku tandus dengan ilmu hidup. Aku bodoh dengan sepak terajang dunia. Aku perlukaan panduan dan bimbingan. Tapi mana abah yang memahami itu hilang? Kenapa abah tidak ada dalam kaca remajaku yang pincang? Aku mencari di setiap sudut memoriku. Aku gali jiwa dan mindaku.. Aku ketemu abah tapi bukan abah yang sarat dengan pengertian. Abah dingin dan beku, abah jarang ada di dalam setiap masalahku, abah yang makin kelam dalam pandanganku..

Abah..
Walau apa pun, abah tetap abah. Meski jauh, aku tetap merasa pengorbanan abah untukku. Meski abah dingin, aku masih merasa setiap sokongan dan dorongan abah padaku. Sekalipun abah hilang, aku tetap yakin lidah abah tidak pernah berhenti mendoakan kebahagian dan kejayaan aku. Terima kasih abah untuk setiap titik keringat abah membesarkan aku. Terima kasih abah kerana menemani zaman kanak-kanakku meski abah jarang hadir dalam perjalanan hidup remajaku. Terima kasih untuk setiap sen yang abah belanjakan untuk aku. Terima kasih atas segala ilmu hidup yang sempat abah ajarkan padaku. Terima Kasih...

Abah..
Maafkan aku sekiranya aku pernah melukakan hati abah. Maafkan aku andai pernah aku mengguris perasaan abah. Maafkan aku atas setiap kedegilanku. Maafkan aku kerana telah banyak menyusahkan abah. Maafkan aku kiranya aku lalai menjaga jiwa abah. Maafkan...

Abah..
Walau siapa pun abah, aku tetap menyayangi abah sampai mati..~