Abah..
Rasanya sudah lama aku tidak memanggil nama itu.. Mungkin berbulan malahan mungkin bertahun. Kita dekat tapi jauh. Langkah abah yang laju jauh meninggalkan aku, sehingga aku penat mengejar dan lelah mencari.. Dingin abah melebihi salji menyukarkan aku menyelami hatinya.. Apa sebenarnya yang abah fikirkan? Apa mahu abah? Sedalam mana kasih abah?..
Abah..
Sedari kecil sememangnya aku rapat dengan abah.. Aku anak abah kata mama.. Aku PA abah kata opah.. Aku anak kesayangan kata tok wan.. Tapi abah, semakin aku dewasa, semakin aku kurang menikmati kasih abah.. Mana abah yang penyayang itu? Mana abah yang selalu ada untuk aku? Mana abah yang ketawa mengejek melihat aku termengah mengejar lariannya dulu? Mana abah yang mengajar aku bahawa hidup ini bukanlah seindah yang disangkakan? Mana.....?
Abah..
Aku tandus dengan ilmu hidup. Aku bodoh dengan sepak terajang dunia. Aku perlukaan panduan dan bimbingan. Tapi mana abah yang memahami itu hilang? Kenapa abah tidak ada dalam kaca remajaku yang pincang? Aku mencari di setiap sudut memoriku. Aku gali jiwa dan mindaku.. Aku ketemu abah tapi bukan abah yang sarat dengan pengertian. Abah dingin dan beku, abah jarang ada di dalam setiap masalahku, abah yang makin kelam dalam pandanganku..
Abah..
Walau apa pun, abah tetap abah. Meski jauh, aku tetap merasa pengorbanan abah untukku. Meski abah dingin, aku masih merasa setiap sokongan dan dorongan abah padaku. Sekalipun abah hilang, aku tetap yakin lidah abah tidak pernah berhenti mendoakan kebahagian dan kejayaan aku. Terima kasih abah untuk setiap titik keringat abah membesarkan aku. Terima kasih abah kerana menemani zaman kanak-kanakku meski abah jarang hadir dalam perjalanan hidup remajaku. Terima kasih untuk setiap sen yang abah belanjakan untuk aku. Terima kasih atas segala ilmu hidup yang sempat abah ajarkan padaku. Terima Kasih...
Abah..
Maafkan aku sekiranya aku pernah melukakan hati abah. Maafkan aku andai pernah aku mengguris perasaan abah. Maafkan aku atas setiap kedegilanku. Maafkan aku kerana telah banyak menyusahkan abah. Maafkan aku kiranya aku lalai menjaga jiwa abah. Maafkan...
Abah..
Walau siapa pun abah, aku tetap menyayangi abah sampai mati..~
No comments:
Post a Comment